Tuesday, August 22, 2017

Kelebihan 10 Hari Pertama dalam Bulan Dzulhijjah



  • Daripada Abdullah bin Abbas RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَا مِنْ أَيَّامٍ العَمَلُ الصَّالِحُ فِيْهِنَّ أَحَبُّ إِلَىْ اللَّهِ مِنْ هَذِهِ الأَيَّامِ العَشْرِ»، فَقَالُوا: يَا رَسُوْلَ اللَّهِ، وَلَا الجِهَادُ فِيْ سَبِيْلِ اللَّهِ؟ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: "وَلَا الجِهَادُ فِي سَبِيْلِ اللَّهِ، إِلَّا رَجُلٌ خَرَجَ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ فَلَمْ يَرْجِعْ مِنْ ذَلِكَ بِشَيْءٍ".
Maksudnya: “Tidak ada hari-hari untuk melakukan amalan soleh padanya lebih disukai oleh Allah SWT berbanding pada sepuluh hari ini”. Maka mereka bertanya: Wahai Rasulullah SAW, sekalipun jihad di jalan Allah? Maka Rasulullah SAW bersabda: “Tidak juga jihad di jalan Allah melainkan seorang lelaki keluar dengan dirinya, hartanya kemudian dia tidak lagi kembali dengan membawa apa-apa daripada itu”. [Riwayat al-Tirmizi (688), Abu Daud (2082)) dan Ibn Majah (1717)]

Daripada Ibn Abbas RA yang mempunyai makna yang sama seperti hadith di atas walaupun lafaznya sedikit berbeza. Daripada Ibn Abbas RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

"مَا العَمَلُ فِي أَيَّامٍ أَفْضَلَ مِنْهَا فِي هَذِهِ؟". قَالُوا: وَلاَ الجِهَادُ؟ قَالَ: "وَلاَ الجِهَادُ، إِلَّا رَجُلٌ خَرَجَ يُخَاطِرُ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ، فَلَمْ يَرْجِعْ بِشَيْءٍ".
Maksudnya: “Tidak ada amalan yang lebih baik daripadanya melainkan pada ini (iaitu hari Tasyriq)”. Mereka bertanya: Tidak juga jihad? Nabi SAW bersabda: “Tidak juga jihad melainkan seorang lelaki keluar dengan mengorbankan dirinya serta hartanya lalu dia tidak lagi kembali dengan sesuatu”. [Riwayat al-Bukhari (916)]

Makna Hadith
Hadith ini menerangkan kepada kita bahawa terdapat hari-hari yang paling disukai oleh Allah SWT untuk hamba-hamba-Nya melakukan amalan soleh padanya. Antaranya adalah hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas di atas. Para ulama’ berpendapat bahawa yang dimaksudkan dengan 10 hari di dalam hadith ini adalah 10 hari pertama di bulan Zulhijjah berdasarkan sebuah hadith di dalam sahih Ibn Hibban, yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdillah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
مَا مِنْ أَيَّامٍ أَفْضَلُ عِنْدَ اللَّهِ مِنْ أَيَّامِ عَشْرِ ذِي الْحِجَّةِ
Maksudnya: “Tidak ada hari-hari yang paling baik di sisi Allah SWT daripada sepuluh hari pertama di bulan Zulhijjah”. [Riwayat Ibn Hibban (3853)]
Berdasarkan itu, kita memahami bahawa tidak ada amalan yang dilakukan pada hari-hari yang lain melebihi sepuluh hari pertama di bulan Zulhijjah ini kerana ia dinyatakan oleh Allah SWT sendiri bahawa ia adalah hari yang paling disukai oleh-Nya dan ia juga adalah hari yang paling afdhal. Dikatakan bahawa 10 pertama bulan Zulhijjah merupakan hari yang paling disukai dan paling baik kerana padanya terdapat ziarah baitullah, Oleh kerana ia adalah hari yang lebih baik dan mulia berbanding hari-hari yang lain maka amalan soleh padanya juga adalah lebih afdhal berbanding hari-hari yang lain. [Lihat: Tuhfah al-Ahwazi, 3/386]
Tambahan pula, Rasulullah SAW menggambarkan bahawa jihad di jalan Allah tidak mampu menandingi kebesaran dan kelebihan yang terdapat pada 10 hari pertama di bulan Zulhijjah ini melainkan seseorang itu keluar di jalan Allah SWT dengan membawa dirinya serta hartanya dan kemudian dia syahid atau dia membelanjakannya harta-hartanya di jalan Allah. Dengan itu, ia adalah lebih baik atau sama seperti orang yang melakukan amalan soleh pada 10 hari pertama bulan Zulhijjah.

Fiqh al-Hadith
Antara fiqh al-Hadith yang boleh dikeluarkan daripada hadith di atas adalah:
  • Sepuluh hari yang lebih disukai oleh Allah SWT atau sepuluh hari yang lebih baik adalah sepuluh hari pertama di bulan Zulhijjah. Ini dapat difahami berdasarkan tafsirsan daripada hadith yang lain.
  • Kita dituntut pada hari-hari tersebut untuk melakukan amalan-amalan soleh kerana padanya terdapat kelebihan dan kemuliannya.
  • Ibn Rejab al-Hanbali di dalam kitabnya Lathaif al-Ma’arif menyenaraikan beberapa amalan yang boleh dilakukan, antaranya adalah berpuasa, qiyamullail, berzikir kepada Allah dan lain-lain lagi.
  • Terdapat sebuah hadith yang dihukum hasan oleh Ibn Hajar al-Asqalani, hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Umar RA, bahawa Rasulullah SAW menyuruh kita agar memperbanyakkan bertasbih, bertahmid, bertakbir dan bertahlil pada hari-hari tersebut.
  • Imam Ibn Hajar al-Asqalani di dalam Fath al-Bari menyatakan sebab kelainan sepuluh hari pertama di bulan Zulhijjah ini adalah kerana segala ibadat-ibadat yang utama terhimpun di dalamnya seperti solat, puasa, haji, sedeqah dan lain-lain lagi yang tidak mana ia tidak terdapat di bulan-bulan yang lain.

Penutup
Kesimpulannya, marilah sama-sama kita mengejar peluang dan ganjaran yang terdapat di dalam hari-hari tersebut dengan melaksanakan sebanyak mungkin amalan soleh agar kita tidak termasuk dalam kalangan orang-orang yang rugi. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kekuatan dan kesihatan yang baik supaya kita dapat terus melakukan ketaatan dan ibadah kepada Allah SWT.

Wallahua’lam

No comments:

DEBARAN MENANTI KELAHIRAN ANAK SULUNGKU.

Hari ni kandungan Tirah 39minggu 5hari. Tak henti henti doa supaya bersalin dalam minggu 39-40. Sebabnya taknak induce. Nak elakkan. Nak n...